Kes Pembinaan Gereja Orang Asli di Gua Musang
Arahan henti pembinaan itu dikeluarkan di kampung Temiar, Pos Pasik Kelantan kerana tiada kebenaran diberikan bagi membina gereja di situ.
Hampir separuh daripada penduduk kampung itu telah menganut agama Kristian sejak beberapa tahun lalu.
Namun menurut penyelaras bagi Centre for Orang Asli Concerns, Colin Nicholas, kelulusan JHEOA tidak pernah dipohon dan surat sebelum itu adalah hanya surat makluman.
Menurut beliau, Orang Asli Pos Pasik berpendapat adalah menjadi hak mereka bagi membina struktur berkenaan di tanah mereka seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan.
Colin (kiri) berkata peguam Lum Chee Seng yang mewakili ketua kampung Temiar itu kepada ketua pengarah JHEOA pada 13 September lalu untuk memaklumkan bahawa kebenaran jabatan itu tidak pernah dipohon.
"Beliau juga menuntut penjelasan berhubung penolakan pembinaan gereja itu,” katanya.
Pada 23 September 2010, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Yusof Wan Ngah menjelaskan pembinaan gereja untuk orang Asli di Pos Pasik, 70 km dari Gua Musang sepatutnya tidak menjadi masalah jika ia dibuat melalui saluran yang betul dan bukannya secara 'bina dulu dan memohon kebenaran kemudian'.
"Isu utama saya nampak ialah pembinaan tanpa izin pihak berkuasa JHEOA (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli) dan pejabat tanah Gua Musang.
"Pihak orang Asli di Pos Pasik atau pihak gereja kena minta kebenaran membina dulu. Masalahnya buat dulu minta kemudian. Kenapa tak bincang atau mohon lebih awal dan minta pandangan pihak berkuasa terlebih dulu. Di sini timbul soalan, gereja itu dibina atas kehendak siapa?" soal beliau.
"Sebenarnya semua urusan tanah di bawah tanggungjawab Ketua Jajahan, maka tidak benar Pos Pasik itu di luar kuasa pejabat jajahan. Cuma ia di luar bidang kuasa majlis daerah memang benar," kata Wan Nik.
Menurut beliau, hak eksklusif orang Asli dalam kawasan penempatannya hanya untuk bercucuk tanam dan tempat tinggal bukan untuk membina apa-apa bangunan termasuk rumah ibadat.
"Sebab kehidupan nature orang Asli memang tiada rumah ibadat! Keperluan rumah ibadat adalah tertakluk kepada permohonan pihak agama itu sendiri atau kerajaan," katanya.
Apapun, katanya, prinsip dan dasar kerajaan negeri adalah selaras dengan perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 3(1) yang memberi hak dan kebebasan semua kaum dan agama mengamalkan cara hidup masing-masing.
"Tetapi di sana ada peraturan lain yang perlu dipatuhi bagi mengamalkan kebebasan itu. Maksudnya kebebasan berasaskan rule of law. Pihak pastor Moses Soo tu kena bertimbang rasional, tak boleh nak force tak tentu kalu," kata beliau.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan